- S A H A B A T -

Isnin, 4 April 2011

Fotosintesis | Proses Vokal




Presiden Persatuan Ulama Antarabangsa, Dr. Yusuf Al-Qardhawi telah mengeluarkan fatwa yang membolehkan perempuan menyanyi khususnya untuk tujuan keagamaan seperti mempromosikan nilai-nilai Islam dan ajaran Nabi Muhammad saw.

Katanya, tidak ada halangan terhadap perempuan untuk menyanyi dengan syarat nyanyian itu tidak melanggar hukum syarak. Nyanyian itu tidak disertai dengan perlakuan yang tidak senonoh seperti menari, bercampur antara lelaki dan perempuan, dan senikata lagunya tidak memuja perkara yang haram di dalam Islam seperti arak.

Dr. Qardhawi juga menyarankan perempuan yang menyanyi harus mementingkan nilai-nilai Islam dan tidak boleh bercampur dengan hal-hal yang tidak senonoh. Perkara tidak senonoh yang dimaksudkan oleh beliau adalah kata-kata yang boleh merangsang nafsu lelaki, menyesatkan dan memuja arak.

Beliau juga merujuk perkara yang tidak senonoh adalah seperti yang pernah dilakukan oleh seorang penyair arab terkenal, Abu Nuwas, yang sering berpuisi tentang cintanya yang disimbolkan sebagai anggur dan hasrat seksual bagi lelaki yang boleh menyesatkan pemuda.

Begitu juga dalam puisi Ahmad Syawqi iaitu penyair terkenal Mesir yang memasukkan perkataan merayakan akhir ramadhan dengan seteguk arak. Menurut Al-Qardhawi , perkataan seperti itu juga di anggap sebagai perkara tidak senonoh yang di larang didalam nyanyian.

Bagaimana dengan nyanyian yang baik. Beliau memberi contoh menyanyi yang baik adalah seperti yang dilakukan oleh penyanyi wanita Mesir, Fayiza Ahamd. Lagu-lagu yang dinyanyikannya banyak memberikan nilai yang baik dan didedikasikan kepada ibu.

Beberapa ulama lain sepakat dengan pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Qardhawi, bahawa perempuan hanya boleh menyanyi dalam keadaan-keadaan tertentu untuk mengelakkan dan menghindari terbangkitnya nafsu orang yang mendengarnya.

Dr. Ibrahim Salah al-Din al-Houdhud, ulama Al-Azhar juga sepakat dengan Al-Qardhawi. Katanya ulama telah membenarkan perempuan menyanyi, namun dengan beberapa syarat iaitu kata-kata nyayiannya tidak menarik atau melanggar nilai-nilai agama, menyanyi tidak seharusnya terjadi ketika ada tarian dan arak serta tidak boleh ada kamera video untuk merakamkannya.

Manakala pendapat yang lain yang juga datang dari Al-Azhar, mengatakan perempuan harus menyanyi dalam lingkungan kaum sejenisnya dan tidak boleh bercampur dengan lelaki lain. Pendapatnya lagi, suara perempuan bukanlah aurat atau sesuatu yang boleh membangkitkan nafsu. Perempuan boleh bercampur dengan lelaki hanya di dalam urusan menuntut ilmu atau pendidikan.

Dr. Adil Abd. Al-Syakour, pensyarah bahasa arab dan syariah dari Jabatan Awqaf Mesir mengatakan, pendapat ulama mengenai perempuan menyanyi mempunyai berbagai-bagai pendapat yang berbeza. Katanya, ada kelompok ulama yang berpandangan konservatif dan keras mencipta persepsi bahawa suara perempuan adalah aurat. Namun begitu ada bukti yang mengatakan bahawa perempuan juga bebas untuk berbual dan bertanya serta berbincang dengan nabi mengenai hal-hal yang bersangkut paut dengan kehidupan harian.

Malah semasa zaman Rasulullah juga pernah berlaku seorang penyanyi wanita menyanyi di rumah nabi. Pada masa itu nabi pun turut mendengar nyanyian penyanyi itu dan tidak pula melarangnya. Namun apabila Umar datang menegur penyanyi wanita itu supaya menghentikan nyanyiannya, nabi meminta penyanyi itu meneruskannya. Larangan itu tidak pernah datang dari nabi.

Beberapa ulama yang tidak sependapat dengan Dr. Al-Qardhawi telah mengkritiknya, mereka mengatakan sebagai peraturan umum, menyanyi adalah dilarang dan tidak hanya untuk wanita tetapi juga untuk lelaki. Pendapat itu dikutip dari pandangan yang mengatakan bahawa pengaruh muzik terhadap emosi dan potensinya cenderung mengarah pada perbuatan dosa.

Namun pendapat itu dibidas oleh Dr. Abd al-Fatah Idris, ulama dari Universiti Al-Azhar Mesir mengatakan, pada umumnya menyanyi untuk perempuan adalah dilarang tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan wanita itu tidak boleh membiarkan lelaki mendengar suara mereka sambil menyanyi. Namun Idris juga mengakui bahawa era nabi ada riwayat yang mengatakan seorang wanita bernama Zainab menyanyi untuk wanita lain di dalam majlis pernikahan.

( Sumber : Al Islam )

Tiada ulasan: