- S A H A B A T -

Rabu, 21 Disember 2011

Proses | Milik

Didalam senario dunia yang makin lemah ini, mendapat damai itu seperti diturunkan rahmat tepat pada ubun-ubun kepala. Terlalu payah untuk merasa dan diberi perasaan itu. Semacam memiliki anugerah dari tuhan untuk insan terpilih. Mungkin aku juga yang berlebih-lebih mencuba. Mungkin, hadirnya bila kau mula serahkan seluruh urusan dunia ini kepada sebaik-baik penjaga urusan. Percaya, akan datang satu bentuk damai yang kau sendiri tidak mampu untuk kategorikan.


Berserah pada tuhan tentang hidup, ikatan, ajal maut. Yang pasti ia sesuatu perasaan yang amat menyenangkan. Tenang kau rasa, damai asyik. Kau akan tersenyum sambil terpejam mata bila rasa itu tiba dan mula menyentuh sanubarimu. Masih tenang walaupun kekasih menampakkan wajah sebenar. Tenang saja bila orangtua mu itu selalu tidak setuju. Sahabat tidak membantu saat kau benar-benar perlu, kau masih tetap juga rasa itu ringan dan menyenangkan.


Berbaik sangka dengan perkara yang telah ditetapkan padamu, kalaupun itu tidak nampak elok untuk perjalanan hidup. Menerima dengan lapang dada, positif mindanya untuk memikir kejamnya takdir, terlindung hati bicara tentang ketidakadilan tuhan, kau akan bersangka baik pada pencipta akal dan hatimu. Dia lebih tahu mana yang patut dan yang lebih baik untuk kelicinan hidup insan. Berserah bukan bermakna kau malas dan putus asa dengan dunia.


Merasanya, cukuplah walau sekejap. Ia terlalu hebat walaupun bersaat enam puluh masa begitu. Kerana bagi aku, bahagianya cukup untuk bekalan hadapan.










Notha: Aku rindu bagaimana rasanya bila perasaan tidak menekan jasad. Entah. Tapi aku bernasib baik sebab anak-anak buah aku bercuti disini. Ahaks!

Sabtu, 12 November 2011

Proses | Lemas


"Cinta ini sudah pada tahap jingga. Ia boleh berubah pada bila-bila masa, parameternya. Surut, akan lebih baik. Lebih indah buat kita. Jika ia naik dan memuncak ke tahap merah, pasti bahaya. Terlalu dalam juga deras arusnya. Mungkin pada saat itu, kau dan aku tidak mungkin bersama, asmara. Bubar sudah perkongsian dua jiwa. Lemaslah aku dengan cintaku. Tenggelamlah engkau dengan kenangan masa lalu. Bersama..."

Khamis, 10 November 2011

Proses | Klimak

Ini tanah air kita. Tanah tumpahnya darah. Sekarang, anasir apa pula yang mahu kau bawa. Hak asasi? Pilihan siapa? pilihan dari muntahan gelojok hati kau yang songsang? Maaf, aku tidak pernah salahkan kau. Tetapi dengan cara apa yang kau fikir, yang kau amal itu tidak membantu tanah ini menjadi subur. Barat?


Betul, kau terlalu barat dari sebahagian manusia barat. Kau bangga? Tetapi kau juga ada anutan seperti sebahagian manusia barat itu. Kecuali, agamamu itu hanya tinggal nama. Tiada agama seperti tiada panduan. Untuk apa hidup, kalau kau tidak berpanduan. Kau mahu bebas?


Kau puaskah dengan kebebasan mengikut caramu yang amat aneh itu? Sekali lagi aku ulang, aku tidak pernah salahkan cara logik akalmu berfikir. Tetapi caramu itu tidak membantu tanah ini menjadi subur. Pulanglah, pulang pada fitrahmu. Hijrah, Tuhan pasti tersenyum.










Notha: Aku minta maaf jika kau tersinggung, aku ulang lagi. Ahaks!

Rabu, 2 November 2011

Proses | Jelas

Kaler ini terlalu menonjol. Kaler ini juga sebenarnya tidak sepadan dan tidak bikin hati kau ceria. Kau cuba lihat disana. Ya, yang itu...Itulah warnanya. Ia hidup bila malam, juga pagi tanpa matahari. Samar-samar terang, tetapi bercahaya dalam gelita. Lebih berguna dan besar sempurna. Kau suka? mahu aku belikan? Tuhan sudah berikan. Ambil sahajalah...














Notha: Bulan..cantik macam bulan..Ahaks!

Sabtu, 29 Oktober 2011

Proses | Impak

Ketika jentolak cuba menolak, tanah yang runtuh dari runtuhan. Hanyut makin sedar, mata dan hati interaksi. Tanah ini mati, tetapi tidak mahu diam. Masih ternampak gelincir tanah-tanah kecil, gelongsor.Tertimbus semuanya yang ada.


Tiba terdengar gema satu suara, dan berkata, "Saudaraku, kau selamatkah?" manusia hanyut itu cuba berkata tanpa berdaya "Terima kasih kerana hidupkan aku kembali." Berlakulah proses menarik dan ditarik.


Seperti tanah itu, dia juga mati. Dia telah meninggalkan kulit,jasad dan rohnya yang dulu. Tanpa rasa malu, manusia ini mahu terus berlari, mencapai bintang. Sebenarnya bulan dan bintang. Dia makin teruja mahu terbang. Mungkin, tuhan sudah beri izin.









Notha: Kau faham? aku makin tak faham..Ahaks!

Rabu, 26 Oktober 2011

Proses | Harus


" Cinta ini masih didasar yang sama, dalamnya. Jika kau tahu bagaimana cara memasangkan lilin, aku juga tahu bagaimana nyalakan sumbunya. Kerana, inilah cinta. Ia perlu cahaya nan terang. "

Selasa, 25 Oktober 2011

Proses | Gasak


Dia mahu berjalan dalam suasana itu. Keadaan yang amat perit dan menyakitkan. Dia harus melaluinya kerana permulaan bermula dengan perbuatan dosa-dosanya yang menjijikkan. Kebinatangan, durjana, khianat, kejam, kecabulan hak manusia kasta rendah.



Kesan lebam, calar, luka, kesan tembakan tepat pada dada kiri buat dia terduduk dan terus terbaring sambil gambar slideshow berulang tayang didepan mata. Kisah dosa-dosa silam yang tidak mungkin terulang. Dia nazak. Udara tidak lagi mahu melalui rongga besarnya. Oksigen sudah diganti dengan darah yang keluar masuk meninggalkan tempat diamnya.



Dia mahu menebus segala dosa yang terbeban diketul hati. Dia tidak bacul untuk mati. Untuk kali ini. Dia tersenyum, dan roh itu keluar dengan cara sangat licin sekali. Pergi dengan rasa hormat dan tanggungjawab. Mati, dan itu penamat sebuah era.










Notha : Ini hanya kisah didalam tv kecil. Ahaks!

Khamis, 6 Oktober 2011

Proses | Fana

Syahadah. Dan akibat satu kali sujud,menyembah. Kau dimaki, dicarut, dihalau, dibiar, diancam bunuh dan terbunuh. Oleh mereka yang tidak dapat menerima perubahan peganganmu. Kejam, tetapi mereka itu siapa?


Dengan jalan yang telah kau pilih, kau seharusnya dibela, dikasih, dididik, dipayung dan dibelai jiwamu agar kau lebih dekat dan terasa dekat dengan sang pemberi cinta. Oleh saudara seanut denganmu. Tetapi malangnya kau sudah rasa jemu dengan pengabaian.


Ya, kami lebih kejam kerana bukan siapa-siapa disisimu. Tidak cuba membantu. Kami lebih celaka dari mereka yang menyembah api dan matahari.


Maafkan aku saudara, aku terlupa. Kau harus dibahu. Aku juga fana. Maafkan lah...










Notha: Kita manusia lemah. Tetapi jangan pernah cuba melemahkan manusia lain. Betul ke aku ni? Ahaks!

Selasa, 4 Oktober 2011

Proses | Empat

Nafas ini makin kering, juga tempat berkumpul seluruh para bakteria pada salurannya. Ada kategori suci dan ada brutal. Terhidap pula di satu majlis sukaria. Jika dibiar, mungkin akan berjangkit pada anggota dalaman yang lain. Mungkin hati? Akal?


Perlu cepat berjumpa Tuhan, juga tabib, juga kekasih. Agar kuman itu tidak merebak pada hati yang sudah bahagia sifatnya. Kerana virus ini cepat berubah sifat dan pantas menular melalui berjuta pembuluh darah. Saluran akar yang mengepalai pertimbangan akal.


Belum ada vaksin untuk ubati penyakit ini. Cuma rahmat dari cakerawala dan rahim dari planet ini, bawaan Tuhan. Itu harapan. Kalau kau mahu percaya. Kalaulah...











Notha: Bila kau mula pening ketika membaca tulisan aku, kau juga sudah berjangkit. Ahaks! Tahniah.

Isnin, 12 September 2011

Proses | Datang

Entah dari mana datang kekuatan. Hidupnya sudah beberapa kali jatuh dan gagal. Seperti jatuhnya empayar,dolar dan maruah. Mendadak. Impian tak terlaksana. Hinggakan air mata sudah jemu mahu keluar. Tetapi selepas itu, dia bangkit semula.


Entah dari mana datang bantuan. Hampir separuh usia dia derita. Mengejar dan mencari hidup. Cinta. Dia sengsara, tetapi masih bernafaskan oksigen dengan aman. Tidak mengeluh. Tidak meminta pada manusia. Dan tidak lupa siapa dirinya. Tujuan hidupnya.


Tuhan, Maha Pemberi Kasih dan Ehsan.

Berikanlah kami kekuatan. Dan bantuan itu. Kami teramat mahukan. Tersangat perlukannya. Kerana baru sebentar tadi aku mendapat jawapan, semuanya Tuhan. Jawapannya...








Notha: Selamat datang...Ahaks! tak tau nak tulis apa kat notha ni..jom senyum.

Sabtu, 10 September 2011

Proses | Cerita

Episod dari sebuah cerita ini, mengajar aku tentang makna sebuah hidup. Nyata. Perjalanan dan permainannya, sejuk juga panas harinya. Hanya berbekal emosi tebal dalam diri, aku terlanjur terbawa watak. Menyocok ulu hati yang kecil. Rapuh, itu sifat jiwa. Bermain juga mata dengan airnya, juga perasaan.



Esoknya, cerita ini bersambung semula. Aku harap skripnya kali ini makin berat. Dalam. Kerana aku mahu bersedia untuk menjadi lebih kuat. Aku harap...





Notha: Selamat hari raya untuk hari yang ke-12...Ahaks! Teruk betul.

Selasa, 2 Ogos 2011

Proses | Tabung

Disaat wang itu bernilai amat, bagi kau setiap sen perlu dijimat. Kau perlu mengikat perut. Cubalah melolos dari nafsu untuk kau miliki barang jenama mahal. Hiasan dari atas ke bawah. Usahlah, wang itu hanya keperluan di rumah. Rumah kecil itu.


Fikiran harus tetap begitu. Kau setkan selalu, hanya untuk Omak. Cukupkan dia. Wahai anak, kau menabunglah dengan emas untuk 'Emas'. Dan inilah Ramadhan.




Notha: Selamat ulang tahun Omak yang ke-71. Semoga Omak dipanjangkan umur dan dirahmati tuhan. Dan harga emas sudah melebihi Usd$ 1,600 untuk satu aun. Ahaks!

Rabu, 27 Julai 2011

Proses | Lampau

Kau telah mencintai dia lebih dari segala. Kau telah larut dalam cintanya. Terlanjur sudah. Sehingga hati sudah mula lupa mana datangnya rasa itu. Siapa yang telah memberinya padamu? Kau hanyut membelai jiwa.


Akal memikirkan nya. Hati bermain kata curiga. Berbisik-bisik. Kerana api itu mahu kau terus lalai dengan permainan cinta. Benar, cinta pada manusia. Totalnya kau berubah. Terlalu pantas. Kau yang dulu hilang, lenyap dimakan pemanah cinta.


Mari. Ayuh diubati sebelum semuanya mati. Dibangkit pula tiada erti. Celaka lagi. Itu yang kau nikmati. Lelah berendam rasa. Alpa menujah sifat manusia. Ya,itu kau yang baru. Pulanglah sederhana. Cinta tak harus terlampau. Kau manusia pelampau.





Notha: Maaf, ini bukan blog jiwang. Ahaks!

Isnin, 25 Julai 2011

Fakta | Keempat

  • Bahagian tengah matahari mempunyai ketumpatan lebih beratus-ratus kali air dan suhu yang mencecah 10-20 juta darjat celsius.

  • Sebiji telur kasuari bersamaan dengan sebelas biji telur dadar yang di buat daripada telur ayam.

  • Masyarakat Mesir purba akan mencukur bulu kening mereka tanda berkabung atas kematian kucing mereka.

  • Rasa sebiji epal, bawang dan ubi kentang sebenarnya hampir sama. Perbezaan rasa adalah disebabkan oleh bau buah. Buktinya, cuba picit hidung anda dan gigit sedikit daripada setiap buah tersebut. Rasanya pasti manis.
Cakerawala
  • Sehingga akhir tahun 1820, ahli-ahli astronomi ketika itu percaya cakerawala ini berusia 6,000 tahun. Kini ia dianggarkan berusia antara 15 hingga 20 bilion tahun.

    • Sekalipun sering dikaitkan dengan Scotland, sebenarnya bagpipes adalah alat muzik purba yang diperkenalkan oleh bangsa Roman.

    • Pada kadar 188 desibel, suara seperti bunyi wisel yang dihasilkan oleh ikan paus biru dianggap bunyi paling kuat dihasilkan oleh haiwan.

    • Seekor burung helang boleh membunuh anak rusa dan membawanya terbang.

    • Suatu kejadian gempa bumi pada 16 Disember 1811 telah menyebabkan arus Sungai Mississippi mengalir ke belakang.

    • Lebih AS$360 juta dibelanjakan oleh penduduk Amerika untuk mengelak nafas berbau pada tahun 1982.

    • Organisasi bogel pertama Amerika diasaskan oleh tiga orang lelaki pada tahun 1929.

    • Pada kurun ke-6 Masihi, seorang penggubal perundangan Athen bernama Solon telah meluluskan suatu undang-undang yang membenarkan pihak bapa menjual anak-anak perempuan mereka yang berzina sebagai hamba abdi.

    Khamis, 21 Julai 2011

    Proses | Paut

    Bila sang kekasih terlalu kasih kepadamu, binalah ruang untuk kamu bernafas seketika. Dan, ciptakan perpisahan sementara. Untuk kamu tahu adakah cinta itu datang dari tuhanmu atau hanya nafsu semata.




    Notha: Jika cinta dan rasa bersatu, berpautlah pada sesuatu.

    Rabu, 20 Julai 2011

    Proses | Hebat

    Kau merasa puas. Tersangat. Sebenarnya kau merasa hebat. Bila kau berjaya membuatkan seorang manusia itu kecewa dengan cintanya. Lebih bonus, bila lelaki itu tunduk sambil menangis, merengek minta penjelasan. Kenapa?




    Kemudian, dia itu ditinggalkan sendirian dan terus mati dalam jasadnya. Menjadi bangkai yang kosong.




    Notha: Bila wanita mahu gegar. Ahaks!

    Selasa, 19 Julai 2011

    Proses | Salam

    Assalamualaikum. Sejahtera keatas kamu. Mari berjabat tangan semula. Pegangan kita makin renggang.

    Sabtu, 2 Julai 2011

    Proses | Kata

    Hati kamu berbolak balik. Kalaupun dia selalu mengatakan cinta " saya sayang awak teramat ". Kamu sudah mahu rimas, bukan lagi sebagai hikmat. Kerana bagi kamu, perkataan itu bersifat emas, mahal untuk di ucap. Terlalu ekslusif untuk disebut-sebut.




    Tidak perlu berkata dengan wajah selamba, luahan yang tidak peka. Seperti tiada makna. Tiada makna seperti tiada rasa. Dijiwanya, manusia itu.



    Notha: Ya atau tidak, ye ke tak? Ah sudahlah! Bosan.

    Selasa, 28 Jun 2011

    Proses | Bebas

    Tuliskan sesuatu pada kertas putih ini. Tulislah! Coretkan kata-kata yang jelas tentang damai dan bebas. Mereka tidak perlukan simpati kamu, hanya mahu kamu bersama dan mendengar cerita tentang udara yang dihirup. Kemarahan yang keluar dari hela nafas. Kesedihan. Yang kadang kencang dan kekadang sumbang. Suara mereka tersekat. Nada tiada gema. Kerana belenggu yang terlalu panjang, berat dan lama, terjerat di bumi sendiri. Tanah itu milik orang, bukan lagi milik tuhan.




    Hai anak yahudi yang baru, juga anak-anak Arab Israel. Sudah! lontar dan campaklah botol itu, ke dalam laut yang memisah. Terpisah. Yang didalamnya ada tulisan arab dan hebrew yang kamu luah, dan bangga. Biar masa mengambil alih kerja-kerjamu. Biar anak di tanah yang dijanji itu tahu, kamu juga merindu.




    Notha : Mari kongsi rasa, jom anak-anak Malaysia!
                 Ya, aku poyo. Ahaks!

    Proses | Barah

    Dakwat hitam telah tersimbah pada hati. Sedang dulu hati juga ditoksik. Beracun. Parah sudah keadaannya. Matahati didalam hati tunggal ini, makin mati. Akibat kedurjanaan jasad.


    Tenat.





    Roh juga makin berat. Tiada cahaya dan kabur.

    Jumaat, 24 Jun 2011

    Proses | Nikmat

    Bila aku tersangat lapar dan mahu bersegera, aku mahu campurkan beberapa gram serbuk koko didalam sebilang gram gandum kering. Biar mereka bergaul bersama. Di kacau melawan jam, perlahan dan sebati. Dalam ruang lengkong yang aku sedia. Tersedia, hanya untuk mainan dimulut, juga penahan di perut.

    Bila aku terlalu malas, begitulah aku. Melakukan sesuatu kerja malas sesuai dengan tahap bermalasan aku. Di suasana dapur yang berkeluasan 10 kali 10 kaki, tidak selesa tetapi boleh membuat fikiran tidak terfikirkan benda.

    Begitu juga tulisan ini, terlalu mahu di papar. Untuk mengejar apa? Atau dikejar? Cacatan yang tak meninggalkan kesan di hati. Tidak juga sedikit ilmu untuk di kongsi. Tiada dalam contengan kali ini.

    Perlu aku minta maaf? Oh, mungkin lain kali.




    Notha: malas nak letak gambar. Ahaks!

    Rabu, 22 Jun 2011

    Fakta | Ketiga

    • Di zaman Rom purba, orang yang hidungnya bengkok dianggap bakal pemimpin.

    • Kerana pengaruh putaran bumi, jika kita melempar sesuatu ke arah barat, lemparan kita akan melebihi arah timur.

    • Sirius adalah bintang yang paling terang di alam semesta. Tahap kecerahannya 26 kali ganda lebih terang berbanding matahari.

    • Badak mempunyai kulit setebal 3.81 sentimeter sehinggakan peluru besi pun tidak mampu menembusinya.

    • Condom (kondom) dinamakan sempena nama Dr. Charles Condom.

    • Sebenarnya, mata manusia melihat semua benda dari atas ke bawah. Tetapi otak yang membetulkan pandangan manusia.

    • Otak manusia sangat kompleks, sehinggakan sesiapa yang ingin memprogramkan komputer untuk menyamai otak manusia perlu membelanjakan wang lebih AS$8 bilion.

    • Ikan emas adalah satu-satunya binatang yang boleh melihat di dalam cahaya inframerah dan cahaya ultra violet.

    • Purata, seorang wanita menggunakan lipstik sebanyak tiga kilogram sepanjang hayatnya.

    • Dua orang ahli kumpulan The Beatles, Paul McCartney bermain gitar bass dengan tangan kidal. Ringo starr bermain dram juga dengan tangan kidal.

    • Rata-rata manusia bergerak 40 kali ketika tidur.

    • Di Malaysia, setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah. Sebulan ? Setahun ? Ah, malas mahu kira. Jawapannya, ramai.




    Notha:
    Kita bertutur sebanyak 31,500 patah perkataan sehari. Ok, sekarang mari kita diam. Memang pun. Ahaks!

    Isnin, 20 Jun 2011

    Proses | Syahwat


    Kau telah membawa cinta jauh dari batasan. Cinta ini tidak selamat lagi. Alat kawalan jauhnya kehabisan bateri. Pasti tsunami bila alat ini mati. Celaka!

    Hanya disini ada penahannya (iman). Disitu kau mahu meraba. Tidak mahu lagi meneka. Kau sudah mahu merasa. Bagaimana bentuk-bentuknya, ukurannya. Dan selepas itu, 100 peratus kau berkemahuan mencapai pujukan nafsumu.

    Perlukah cinta itu dimanja dan dilagukan? Seharusnya dibawa ke pelaminan. Atau bermukadimah di hotel-hotel murah? Bajet. Kau perlu bertahan dan menahan. Dengan kenakalan separuh dari jiwa. Berbuak-buak mahu keluar. Cuba memuntahkan laharnya. Kau cubalah menahan !




    Notha : Bukan bacaan umum? Ahaks!

    Jumaat, 17 Jun 2011

    Proses | Semangat

    Bangkitlah semangat. Kau telah diseru atas nama kasih dan sayang.  Susup masuklah ke dalam. Jeritkan pada sesaraf lena yang tak mahu dimiliki.




    Titik noktah.




    Notha : Belum mahu bangun lagi.

    Khamis, 16 Jun 2011

    Proses | Rasa

    Kilang jiwa sudah penuh dengan rasa. Maafkan lah. Dia berdebu dan mendesak nafas untuk menyentap oksigen secara santun.


    Rongga juga sudah tertutup.


    Noktah


    Sekian.


    Noktah






    Notha : weh! sahaja aku. niat. Ahaks!

    Isnin, 13 Jun 2011

    Proses | Suara

    Keadaan kembali sunyi. Setelah hampir dua minggu rumah kecil ini padat dengan tona-tona suara anak-anak. Suara itu hanya tidak bernada bila sahaja anak itu tidur bergelimpangan. Pengsan kerana penat yang teramat. Kepenatan bermain permainan tradisi walaupun mereka anak semasa.


    Kadang suara itu bergabung menjadi koir. Masing-masing ada nada suara tersendiri. Harmoni. Suara itu telah aku analisis. Bagi aku indahnya seperti kicauan burung-burung di pagi hari ahad. Paling tidak pun ia semacam bunyi-bunyian serunai dan gendang Mohram. Ada kedamaian disitu. Dalam kemeriahan suara-suara itu, ada ketenangan. Walaupun itu tidak enak untuk halwa telinga manusia lain tetapi baik untuk spiritual aku.

    Bapa saudara mu yang bongsu menunggu kamu di cuti semester akan datang.




    Notha : Kisah anak-anak buah aku. Ahaks!

    Jumaat, 10 Jun 2011

    Fakta | Kedua

    • Urat saraf yang paling sensitif di dalam tubuh manusia letaknya di tulang belakang.  

    • Asteroid yang dipercayai telah menghapuskan dinosaur dimuka bumi ini 65 juta tahun dahulu dinamakan Chicxulub.

    • Jenama kondom Ramses diambil sempena nama Ramses II yang dipercayai mempunyai 160 orang anak.

    • Filem Cleopatra yang dibintangi oleh Elizabeth Taylor telah diharamkan tayangannya di mesir kerana dia merupakan seorang penganut agama Yahudi.

    • Lidah seekor paus biru lebih besar dari sebuah kereta.

    • Tidak ada sesiapa pun direkodkan lahir pada tahun 1983 di Vatican City, Italy.

    • Hanya bahagian tumit dan permukaan tapak tangan sahaja yang tidak akan menjadi gelap sekiranya terdedah dengan cahaya matahari.

    • Racun yang terdapat pada tubuh seekor katak panah sudah cukup untuk membunuh kira-kira 2,200 orang.

    • Perkataan ajaib 'Abracadabra' dipercayai digunakan dalam menyembuhkan penyakit demam yang disebabkan alahan debu yang melanda Eropah suatu ketika dahulu.

    • Nama yang paling kerap digunakan di Italy ialah Mario Rossi. Dan kau percaya atau tidak, nama yang paling banyak digunakan di dunia pula ialah Mohammed.


      • Berat bulan adalah 81,000 trilion tan.

      • Spesies cacing tanah terpanjang di dunia, iaitu Megascolides, telah dijumpai di Australia pada tahun 1868. Jangan terkejut, ia boleh membesar sehingga dua meter panjang. Ertinya, kalau cacing Megascolides boleh berdiri seperti manusia, ia pasti lebih tinggi daripada orang yang sedang membaca fakta pendek ini! Ahaks!

      Selasa, 7 Jun 2011

      Proses | Khabar

      Apa khabar Encik Bakar? Kau masih bertutup mata. Kau berjalan berjaga-jaga. Selangkah dua dan tiga. Mahu kemana? Ya, kau mahu ke sana. Bersolat.

      Apa khabar Encik Bakar? Aku pasti kau ceria. Kalori mu banyak binasa. Setiap hari ada sahaja. Kau akan berjalan kesana. Satu kilometer luas radiusnya. Pergi dan pulang. Selepas tengahari dan petang. Kau melepasi empat lampu isyarat. Empat hala ke kiri. Enam simpang ke kanan. Juga lima jalan yang lurus. Proses itu terus menerus.

      Apa Khabar Encik Bakar? Aloi itu panjang sedepa. Sedikit ke kiri sekejap ke kanan. Meraba tapi bukan dengan tangan. Kau berlangkah juga begitu. Bertongkat. Kau lebih merasa. Bukan dimata. Tapi di isini, hatinya.


      Encik Bakar, aku kagum.




      Notha : Cuba bertutup mata seketika. Warna apa yang ada. Lihat hitam? Kelabu? Syukurlah bila engkau terjaga. Ahaks!

      Isnin, 6 Jun 2011

      Proses | Khayal

      Dikawasan-kawasan sejuk melampau seperti Siberia dan Scandinavia, tumbuh sejenis kulat yang amat disayangi oleh masyarakat tersebut. Kulat itu diberi nama Fly Agaric. Ia tumbuh melata dihutan dengan topi berwarna merah yang kalau mengembang penuh boleh mencapai 30 sentimeter lebar, manakala batangnya pula putih, setinggi 5 ke 20 cm.

      Kau tahu kenapa cendawan ini digelar fly agaric? Sebab cendawan ini tinggi kadar asid ibitonic, muscazone, muscarine, muscimol. Satu gram sudah cukup untuk membuat pemakannya menjadi khayal, penglihatan terganggu, mood berubah- ubah, gembira, berpeluh dan air liur meleleh.

      Memakan terlalu banyak pula boleh mengakibatkan badan membengkak, meracau dan berhalusinasi. Ketika inilah si pemakan tadi merasa dirinya terawang- awang dan melayang seperti dibawa ke alam ghaib. Kesan sampingan ini boleh berlarutan sejam hingga sepuluh jam.

      Oleh kerana sifatnya yang boleh menyebabkan fikiran melayang dan berhalusinasi, golongan shaman ( pawang ) masyarakat Siberia memakan fly agaric dalam sesuatu ritual, untuk berhubung dengan kuasa-kuasa ghaib.


      Fakta yang meloyakan tekak ; Selepas ritual, shaman akan membuang air kecil ke dalam sebuah bekas, dan air kencing itu akan diberi kepada orang ramai untuk meminumnya.
      Kesan sampingan cendawan itu sangat kuat, kerana meminum air kencing shaman itu juga akan membuat mereka berhalusinasi, berasa diri terbang melayang, terawang-awang serta menembusi alam ghaib!

      Dahulu, fly agaric menjadi makanan golongan kaya dan bangsawan. Tetapi golongan bangsawan di siberia itu sangat baik hati, lantas mereka menadah air kencing masing-masing untuk diberikan kepada golongan miskin supaya orang miskin juga dapat merasakan diri mereka terbang terawang-awang.



      Notha : Kalau kau mahu, hubungi aku. Ahaks!

      Khamis, 2 Jun 2011

      Proses | Hasutan

      Aku tidak pernah salahkan kau. Aku tahu hidup kau teramat payah. Kau tegar miskinnya. Manusia kota yang hidup dipinggiran. Kau berusaha tetapi kau terabai.

      Kau masih bersetinggan. Di wilayah yang telah pupus rumah berciri papan dan beratapkan zing. Dikebun tinggalan itulah tempat tinggalmu. Berjirankan taman perumahan mewah. Kepunyaan para pencari harta. Tersungguh gah dan berdiri megah rumah berbatuan keras itu. Bila dilihat dari garis sempadan tanah ini, mereka meninggal dan kau tertinggal. Terlalu jauh langit dan bumi.

      Kau miskin juga hina. Istilah apakah itu? Miskin hina. Perlu hina kerana miskinnya dia? Maka celakalah pada orang yang menggelar. Terlupakah hidup ini roller coaster. Namun itulah hakikat.


      ...Kau terimbas. Jadi, apa yang kau fikirkan lagi? Ambillah beras itu. Beras yang harus kau angkut. Dari lori panjang yang terbalik dihadapanmu. Cepatlah ! sebelum seluruh warga lebuhraya bersesak - sesak datang. Inilah dinamakan rahmat. Mungkin ini jugalah hak mu. Silakan, kautlah beras itu untuk bekalan keluargamu yang lama kelaparan. Salahkah? Aku tidak pernah salahkan kau. Dan aku tidak akan.


      ...Keadaan menjadi terang. Dia mula tersedar akan kekuatan cahaya. Sebentar tadi dia terhasut dari kata sisi gelapnya. Sekarang, dia mahu berlalu. Biarkan dia dan ahlinya berlapar. Dia mahu terus begitu, dari mengambil hak dari milik orang. Tidak sebutir beras pun digenggam. Tertunduk semua yang hitam. Manusia miskin ini berjaya. Ini jugalah rahmat. Itu juga hakikat.




      Notha : ( Kosong )

      Selasa, 31 Mei 2011

      Proses | Wajah

      Terlalu ramai yang ingin,
      Mahukan kau bersama aku,Menjalin asmara,
      Hanya kau dan aku.
      Kaulah wanita,
      Dan dia lelaki gosip,
      Pencerita cinta bersiri,
      Cerita yang dibuai-buai.
      Bila akal ini pertama kali,
      Memproses mata untuk melihat,
      Si perempuan manis juga pemalu,
      Agak sopan juga penyantun.
      Ahh! aku tak patut menilai,
      Zahir juga dasarmu,
      Aku belum benar mengenalimu,
      Biarkan saja jiwa ini merasa. Bagaimana?




      Benar, satu pun tidak benar,
      Bolehkah kau melihat wajah,
      Wajah aku yang sebenar,
      Dalam posisi juga sisi ini,
      Dan aku tak kan berganjak.



      Notha : Gilaaa !!! Ahaks!

      Sabtu, 28 Mei 2011

      Proses | Tudungan

      Wanita. Kau sempurna.

      Tetapi kenapa? Kenapa masih terlihat itu, sedang kau menutup yang ini.
      Tidak jelas? Kau cantik bila bertudung kepala. Kau makin ayu. Ketimuran. Kitakan manusia timur. Namun sayangnya, kau masih berkelakuan aneh. Dalam kau mengejar zaman, kau terlupa yang kau telah longgar.

      Kau masih lagi menampakkan dadamu yang padat
      Kau masih lagi berbaju ketat.
      Kau masih lagi berkain singkat.
      Kau masih lagi itu...
      Kau masih lagi ini...

      Benarkan hati bersangka baik.

      Tak mengapalah...
      Dia baru dalam proses ini.

      Tak Mengapalah...
      Sekurang dia telah mencuba.

      Tak mengapalah...
      Papa dan mama masih ada.

      Tak mengapalah...
      Dia belum jumpa contoh yang baik.

      Tak Mengapalah...
      Dia tidak pernah dengar ayat yang menghukum.

      Tak mengapalah...
      Hidayah milik tuhan.

      Tak mengapalah...
      Aku sendiri tidak betul.

      Tak mengapalah...
      Kita tidak menegur ( cara hikmah )



      Tak mengapalah...
      Kau dan kami mungkin masuk neraka.

      Hah !!! Tak mengapalahhh...



      Notha : Tak mengapakah kalau tak mengapalah? Ahaks!

      Isnin, 23 Mei 2011

      Proses | Solat Yahudi

      (Petikan daripada wawancara langsung En. Adnan Oktar di Çay TV dan Maraş Aksu TV, 29 Oktober 2009)

      PENYAMPAI: Anda juga telah mengaitkan mereka (Yahudi) dengan solat.

      ADNAN OKTAR: Saya mempunyai satu video. Biar kita siarkannya di suatu masa. Mereka mengambil wuduk. Mereka memiliki mangkuk khas untuk mengambil wuduk, dibuat khusus untuk tujuan tersebut. Mereka melakukan satu penyucian, mereka membasuh tangan dan muka. Mereka berdiri, rukuk dan sujud. Mereka melaksanakan solat sama sepertimana yang kita tahu. Terdapat dua filem berbeza. Ada beberapa ulama Yahudi dengan janggutnya. Dengan jubah Yahudi mereka... Mereka sedang melakukan solat, dengan rambut mereka di paras ini dan memakai jubah khas mereka. Solat juga wujud dalam Kristianiti. Ia wujud dalam semua agama tauhid. Nabi Ibrahim (as) pernah menunaikan solat. Ramai orang membayangkan bahawa kepercayaan itu amat berlainan. Namun hakikatnya ia tetap sama. Allah Yang Maha Kuasa telah membuat beberapa perbezaan berkenaan hal yang halal dan haram. Kesemua mereka sama. Ia tetap sama di zaman Nabi Ibrahim (as). Ishak, Yaakob, Ismail dan kesemua mereka pernah melaksanakan solat dalam cara serupa. Nabi Yesus (as) juga pernah menunaikan solat. Hanya selepas itu Kristian berhenti mengamalkannya. Tetapi penganut Kristian menunaikan solat di Korea. Ada sesuatu yang kurang diketahui, contohnya mereka di Korea Selatan melakukan solat. Kristian di Ethiopia juga melakukan solat. Majoriti Yahudi melakukan solat. Namun dalam beberapa waktu agama-agama ini telah dirosakkan, maksud saya amalan sebenarnya telah dikurangkan, ianya telah diubah.
      Antara Cara-Cara Penganut Yahudi Sembahyang








      Ingin Melihat Video (klik Sini)

      Notha : Aku terasa malu. Kau rasa apa? Ahaks!

         http://adanaberkat-petuaideadanpandangan.blogspot.com

      Sabtu, 21 Mei 2011

      Fakta | Pertama

      • Satu per empat daripada tulang didalam tubuh manusia terdapat di bahagian kaki.

      • Kertas telah dicipta pada tahun 105 Masihi oleh seorang sida China bernama Tsa'i Lun.

      • Seorang kidal berkecenderungan untuk melangkah dengan kaki kiri.

      • Nycrophobia ialah penyakit takutkan gelap, manakala Odontophobia ialah ketakutan kepada gigi.

      • Pyrophobia pula, ketakutan kepada api. Dan phobatrivaphobia ialah ketakutan kepada perkara-perkara luar biasa mengenai fobia.

      • Air minuman Pepsi mengandunigi pepsin ( enzim yang terdapat di dalam perut untuk proses penghadaman ), dari situlah ia mendapat nama.

      • Satu tahun mengandungi 31,557,600 saat. Satu billion saat pula bersamaan dengan 37 tahun.

      • Teras planet Musytari sebenarnya bersifat bukan logam. Tetapi disebabkan tekanan yang begitu kuat di bahagian dalam, teras tersebut telah bertukar menjadi logam. Logam tersebut ialah hidrogen.

      • Darah manusia mengalir sejauh 96,560 kilometer setiap hari dengan melalui setiap urat saraf, arteri, kapilari serta pembuluh darah.

      • Ibu kota Korea selatan iaitu seoul diambil daripada perkataan 'seoul' ( bahasa korea), bermaksud ibu kota.

      • Jika gagal menemui sebarang makanan, sesetengah cacing reben akan memakan diri sendiri bagi mengelakkan diri daripada mati kebuluran.

      • Ular tidak boleh mengelip mata. Reptilia itu juga tidak akan mematuk ketika berada didalam air kerana tindakan itu boleh menyebabkannya lemas.

      • Dianggarkan setiap tiga minit akan ada seorang penghuni bumi yang mendakwa melihat UFO. Di Amerika Syarikat, dikatakan UFO akan mudah dilihat pada bulan julai, mulai pukul 9.00 malam hingga 3.00 pagi.



             Notha : Ha korang tahu? Aku baru tahu. Ahaks!

      Rabu, 18 Mei 2011

      Proses | Reben Merah

      Badan aku makin menyusut. Sebelum ini juga aku sudah mula hilang selera makan. Mungkin juga muak dengan makanan yang terhidang disini. Kalaupun dihidang masakan kegemaran aku, tetap tak merangsang nafsu ini untuk menurut.

      Sudah masuk tiga bulan aku disini. Dulu aku tidak begini. Sekeliling amat sayangkan aku. Ramai kawan sepermainan. Bermain, berlari dan berkejaran. Proses biasa untuk mereka yang seusia dengan aku. Rindunya aku dengan saat itu. Tetapi sekarang sudah banyak yang berubah. Kenapa?

      Aku mula dibenci. mereka menjauhkan diri. Aku juga tidak paham kenapa perlu perlakukan begitu terhadap aku. AKu cuma mahu berkawan dan bermain. Berbagai gelaran mereka ciptakan untuk aku. Diejek, dimaki, dicemuhnya aku. Terlalu banyak benda berlegar dikepala bila hati ini terasa perit dan terguris. Termenung jauh bila aku memikirkannya. Kenapa mesti aku ?!!

      Aku hanya budak dengan sifat keanak-anakan. Kau rasa tidak terlalu beratkah apa yang sedang aku tanggung? Kata-kata kejam yang keluar dari mulut orang yang aku anggap dewasa. Terlalu hinakah aku? aku ini masih lagi manusia. Bukannya sampah yang boleh kau anjing-anjingkan. Aku menangis.

      Mama, papa...Apa salahnya aku. Kenapa aku perlu menanggung semuanya. Aku hanya kanak - kanak. Kenapa mama dan papa tinggalkan aku seorang diri. Bawalah aku bersama.

      Badan ini makin melemah. Kalau lah kau dapat merasakan apa yang aku rasa, sekurang kau akan faham. Penat, pergerakan ini seakan dikawal. Kenapa dengan aku? Badan ini juga kekadang menukar suhunya tanpa izinnya aku. Aku kesejukan. Menyocok-nyocok ke sendi-sendi ini. Aku perlukan sentuhan kamu. Belailah dan peluklah aku erat, kemas-kemas. Aku terlalu mahukannya.



      Aku....ak....ku....uuu..



      Akhirnya dia bertutup mata buat selamanya.




      Notha : Aids tidak berjangkit melalui sentuhan. Maka sentuh dan belailah dia juga hatinya.

      Ahad, 15 Mei 2011

      Jiwalogy | Chorangue

















      Dengan pena ini,
      Aku sudah tidak peduli,
      Aku terasa disakiti,
      Jasadku kau miliki.

      Bersama ayat ini,
      Aku menghukummu,
      Dengan kata maki.
      Makian dan caci.

      Dengan ayat ini,
      Aku merantaimu,
      Agar kau tak bisa berlari,
      Mengejar citra mimpi.

      Dan bila pena ini,
      Bewarna pekat dan likat,
      Dakwatnya seakan menyala,
      Amarah diri, tak terkawal lagi.

       _____________________

      Oh celaka,
      Pena dan ayat ini,
      kau harus pergi,
      Dan kau harus mati,
      Dari kesan darah yang merah,
      Akhirnya marah ini bernokhtah.



      Notha : Bila benci menguasai diri, Bencilah untuk membenci.

      Proses | Spanyolitas

      Ada cerita dihujung berita. Ketika manusia ini selesai dengan prosesnya.
      Kau rasa apa? Cerita apakah dihujung berita? Ah cerita tentang cinta.
      Bukan, ada cerita tentang gempa.

      Gempa bumi di sepanyol. Walaupun gempanya berskala kecil, tetap tersentuh rasahati pabila melihatnya. Kenapa jiwa tersentuh?

      Fikiran aku melayang mengenangkan seperkara. Aku teringatkan Andalusia?

      Visualnya bermain lagu pilu. Tatkala melihat bangunan dan gereja yang meroboh.
      Hati ini menjadi sayu. Menangis hati Melayu ini.

      Hati memujuk mata untuk serta. Mata bertakung air dibibirnya, bergetar-ketar.

      Oh, Dunia makin tua, Dunia makin binasa.

      Tuhan, maafkan kami.

      Kerana tangan-tangan ini.

      Merabak-robek muka bumi.

      Mencurang kaki-kaki ini.

      Keadaan yang tak pernah mati.






      Notha : Ini tulisan aku yang hilang pada malam khamis 12 mei lepas. Tulisan pertama mungkin lebih baik dari yang ini. Dan aku juga mengandaikan gempa yang berskala besar mungkin akan berlaku kurang dari 3 bulan dari sekarang. Ah aku memandai-mandai. Ahaks!

      Khamis, 12 Mei 2011

      Jiwalogy | Beralihand

      Ku alih pandangan ini jauh,
      Agar tak tersentuh rasa hati,
      Bila kau ku lihat makin jauh,
      Pergi meninggalkan perasaan ini.

      Bergelora debar didalam,
      Kerana melihatmu, sejarah,
      Terasa ingin aku sentuh,
      Dirimu yang satu anugerah.

      Beralih pandangan ini jauh,
      Agar tak menyentuh rasa hati,
      Bila aku lihat makin jauh,
      Kau pergi tinggalkan perasaan ini.

      Rasa ini tak mungkin sama,
      semalam hidupku penuh warna,
      mimpi-mimpiku berbunga-bunga,
      kini ku paksa hati untuk melupakan.

      Sayang, Kau dah berubah,
      Sakit, Kau tak percaya,
      Kasihku tiada erti,
      Hilangnya dalam renungan,
      Bayangan dan khayalan.



      Notha : Kau percaya tidak, tulisan ini bercerita tentang nilai Dollar Amerika yang makin menyusut ? ahaksss !!! Gila itu dollar !

      Rabu, 11 Mei 2011

      Jom Lepak di Bangku Kosong



      Salam. Pertama kali aku buat benda-benda semacam ini. Kenapa agaknya. Entahlah. Mungkin itu dan  mungkin juga yang ini. Mungkin dia seorang lelaki yang berwatak baik atau aku yang mahu blog ini dikenali. Ahh ! boleh jadi keduanya sekali. Kalau kau juga suka, tak salah kalau kita sama menjengah di blog Bangku Kosong itu. Ahakss !!!



      Notha: Aku mungkin sudah hilang punca. he heh. Jangan marah haa.

      Selasa, 10 Mei 2011

      Proses | Malaikat

      Suatu hari, seorang bayi menerima perintah daripada Penciptanya: "Sebentar lagi, engkau akan bersiap sedia untuk diturunkan ke dunia." Sesungguhnya bayi itu berasa amat takut, gusar memikirkan akan dilahirkan ke dunia yang tidak pernah dilihatnya.


      Lalu bayi itu bertanya kepada Tuhannya: " Selama ini ada malaikat yang menjaga ku. Dan para malaikat itu ada memberitahu, aku akan dikirimkan ke dunia. Tetapi, bagaimana aku akan hidup didunia itu dengan tubuhku yang kecil dan lemah ini? "

      Lalu Tuhannya menjawab: " Jangan takut, sesungguhnya aku telah memilih seorang malaikat untuk menjaga dan mengasihimu di dunia itu nanti. " Akibat masih takut, bayi itu bertanya lagi, " Dunia itu sudah tentu berbeza. Jika didalam syurga ini aku hanya perlu bermain, bernyanyi dan ketawa membuatku terasa bahagia. Bagaimana didunia itu nanti? "

      Lalu Tuhannya menjawab, " Jangan takut, malaikat yang aku pilih itu akan menyanyikan lagu untukmu, menghadiahkanmu dengan senyuman dan kasihnya membuat kau berasa hangat dan dicintai! " Bayi itu masih tidak berpuas hati lalu bertanya lagi, " Aku tidak akan memahami bahasa mereka dan mereka juga tidak akan memahami apa yang aku bicarakan. Bagaimana aku boleh hidup dengan mereka? "

      Lalu Tuhannya menjawab, " Malaikat yang ku pilih itu akan berbicara padamu dengan bahasa yang paling indah, paling lembut dan dipenuhi kesabaran dan perhatian. Dengan ketulusan dia akan mengajarmu berbicara."

      Bayi itu bertanya lagi, " Dan bagaimana caranya perlu aku lakukan jika ingin berbicara dengan Mu kelak?" Lalu Tuhannya menjawab, " Malaikatku itu akan mengajarmu bagaimana caranya nanti! "

      Bayi itu masih terus bertanya, " Aku dengar didunia itu ramai manusia jahat. Jadi siapa yang akan melindungiku nanti? "

      Lalu Tuhannya menjawab, " Malaikatmu itu itu akan melindungimu dengan segenap jiwa raganya sekalipun perlu mengorbankan dirinya! "

      Dengan sedih, bayi itu berkata: " Aku akan berasa sedih kerana tidak dapat bersama dengan-Mu lagi!"

      Lalu Tuhannya menjawab: " Usah gusar, Malaikatmu itu akan menceritakan tentang-Ku padamu. Malaikat itu mengajar engkau bagaimana engkau akan kembali kepada-Ku bila sampai waktunya nanti. Sesungguhnya, Aku sentiasa berada disisimu! "

      Dan sebelum diturunkan ke dunia, bayi itu bertanyakan soalan terakhir: " Jika sudah terpaksa aku pergi ke dunia itu, Bolehkan aku tahu siapakah nama malaikat yang Engkau maksudkan itu?"


      Lalu Tuhannya menjawab: " Ibu ! Ya, ibu yang melahirkan engkau!"


      ( Sumber : Mastika )

      Notha : Terima kasih sekali lagi wahai Omak...

      Ahad, 8 Mei 2011

      Proses | Omak


      Kehadapan omak yang aku kasihi.



      Mak tengah tidur ya, bagus.

      Omak, aku tak dapat bagi hadiah beg tangan berjenama Louis Vuitton untuk mak. Aku juga tak dapat belikan seutas rantai mutiara Refflesia. Kasut Jimmy Choo, Ipad, Blackberry, Proton Inspira. Mak tahukan kenapa? Dan aku juga tahu mak tak suka benda-benda dunia macam tu.

      Tapi, aku ada beli sedikit barang untuk mak. Sikit saja. Beras Taj Mahal Herba Ponni 5 kilo, ayam organik seekor, biskut Jacobs Low Salt Hi-Fibre sekotak, HI-goat susu kambing, roti Gardenia Wholegrain Fibremeal dengan Gardenia Choco Raisin sebungkus. Dan sepek Maggi Tomyam Beli 5 percuma 1 juga sepeket tembakau Royal perisa Blueberry. Ya, dua benda ini untuk kegunaan aku. Mak tak perlu. Aku kena jaga kesihatan mak. Mak bukan sihat sangat. Bulan julai umur mak dah 71 tahun. Tapi bagi aku mak masih lagi comel. Mesti mak ketawa kan? he hehh.

      Aku tak tahu, apa jadi dekat aku bila emak tiada nanti. Siapa hendak siapkan makanan untuk aku. Siapa pula hendak masakkan masak lomak cili api kesukaan aku? Kari ayam, sup ayam, sambal tempoyak, ikan bakar dengan kuah kicap pedas tu.

      Dengan siapa aku mahu berlawak? Siapa nak ketuk kan pintu bilik aku? Dengan siapa aku mahu berlawan siaran tv? Siapa nak marahkan dan bebelkan aku? Tangan siapa hendak aku cium? Siapa nak doa dan redhakan hidup aku? Aku nak lebih sayangkan mak, aku nak buat mak gembira.




      Mak, selamat hari ibu. I Love You, mak tak paham ya, ok. Aku sayang omak.


      Mak, jangan pergi dulu ya, aku nak bayar hutang dan jasa budi mak.




      Notha : Dengan pengalaman dari seorang kawan, aku tak mahu sakiti hati dan perasaan omak lagi, dan cuba sehabis mungkin untuk mentaati serta menjaganya. Kalau aku bertulis panjang , takut lari tajuk. Malas buat cerita sedih, nanti jiwa kau jadi lesu dan lumat. Sebenarnya, tak terluah dengan kata-kata  ( seorang manusia lelaki kelakar juga sensitif ) Ahaks!

      Jumaat, 6 Mei 2011

      Jiwalogy | Teksiman

      Kau bukannya Superman,
      Boleh terbang sampai kayangan,
      Tapi dari timur ke barat,
      Sekelip mata kau rembat.

      Kau bukan Robin Hood,
      Walau banyak yang kau bantu,
      Yang selalu tersepit, tak berduit,
      Tiap hari bukan sikit.

      Kalau kecemasan,
      Kau tak pernah keberatan,
      Dari hujung sampai pangkal,
      Kau yang hantar hospital.

      Sebenar kau pun hebat,
      Macam sehebat Ironman,
      Semulia Spiderman,
      Dan seramahnya Kluangman.

      Beza, Kau bukan khayalan.
      Nyata sebenar kehidupan,
      Berbakti untuk insan,
      Siapakah gerangan...Engkaulah Teksiman.


      Kaulah Transformers aku.



      P/s : Maafkan aku kerana gunakan bahasa yang gonjeng, aku tiada idea.


      Notha : Walaupun sebilangan kecil pemandu teksi ini bangkang kerajaan
      (takpelah demokrasi), mencekik darah penumpang dengan tambang ( tak ikut meter ) dan juga perogol bersiri ( pernah dengar? ), tapi sebahagian besarnya adalah hero bagi aku. Mereka perlu dihormati. Mereka mungkin hero yang dekat dengan kita. Mungkin saudara-mara kita ataupun mungkin jiran tetangga 40 rumah kiri dan kanan. Kau tahu? Entahlah...Ahakss !

      Isnin, 2 Mei 2011

      Fotosintesis | Proses Osama






                                                   Gambar dari blog Tuan Cina Islam

      Salam. Benar kah Osama Bin Laden terbunuh atas serangan tentera Amerika ke atas kawasan persembunyian beliau di Pakistan pagi tadi?

      Apa pendapat kalian tentang khabar ini. Apa jiwa kau sedang rasa? Proses apa? Riang atau Resah atau pun Rosak. Sila Klik di Jiwa Komen dibawah. Menyampah !!!

      Sabtu, 30 April 2011

      Fotosintesis | Proses Encik

      Semuanya bermula dari kandungan. Sehinggalah aku dilahirkan, emak seakan tidak mampu menerima hakikat bahawa aku seorang lelaki dan bukannya perempuan sebagaimana yang diidamkannya.

      Tak hairanlah, tiap kali pergi membeli baju, emak akan membeli dua pasang baju. Satu lelaki dan satu lagi perempuan. Katanya, yang baju perempuan akan diberikan kepada saudaranya yang mempunyai anak perempuan.

      Layanan mak terhadap aku, sama seperti anak perempuan. Aku dipakaikan celak malah dibelikan rantai dan gelang tangan emas. Bukan itu saja, ketika berumur 9 tahun, aku disuruh membantu emak didapur. Menolongnya memasak dan menyediakan sarapan. Tak hairan jugalah kalau disekolah, kawan-kawan aku semuanya perempuan.

      Sehinggalah aku tingkatan 4 , perubahan pada diri aku membuatkan ayah yang telah bercerai dengan emak merasa risau. Aku dihantar ke sekolah vokasional berasrama dengan harapan aku akan berubah. Tapi aku sendiri tidak tahan apabila sering diusik kawan2 yang nakal. Akhirnya aku menyewa rumah yang berdekatan dengan sekolah.

      Tamat persekolahan tingkatan 5, aku mula bekerja disebuah kilang di Pulau Pinang. Ingatkan boleh berubah tapi disebabkan didalam kilang itu ramai kawan2 yang serupa dengan aku, maka makin menjadi-jadilah sifat " keperempuanan " yang sememangnya telah terdidik sejak dari kecil lagi. Dan jangan terperanjat, aku juga mempunyai teman lelaki yang menjadi kekasih hati.

      Kami mula berhubungan malah melakukan hubungan sejenis. Keseronokan dibelai, dilayan, dan dimanja membuatkan aku dibuai kelekaan. Malah nafsu aku terus melonjak2. Namun itu hanya seketika. Lelaki itu telah beristeri lalu aku membawa diri ke Kuala Lumpur dan berpindah pula ke Klang. Aku mencuba nasib di kota besar, namun gagal. Tidak ada pihak yang ingin mengambil aku bekerja. Jalan singkat diambil dan akhirnya aku mengambil keputusan untuk melacur!

      Seronok dengan kerja2 yang dilakukan, aku mengambil keputusan untuk mengubah status jantina. Aku melakukan pembedahan pertukaran jantina di Thailand. Dengan kos Rm 6000 untuk pembedahan pertukaran jantina ditambah dengan kos membesarkan buah dada sebanyak Rm 4000, aku mula merasakan nikmat kepuasan yang tidak terhingga dalam hidup aku ! Aktiviti pelacuran semakin ligat.


      Sehinggalah pada suatu hari, teman lelaki yang pernah berhubungan dengan aku meninggal dunia akibat tibi. Kala itu, tersirap darah ke seluruh tubuh. Rasa gementar mula menerjah. Soalan Mungkar Nakir dan azab kubur yang selama ini tiada langsung dalam kotak fikiran mula terbayang-bayang. Termangu aku seketika. Perasaan apakah yang telah menyusup masuk di dalam tubuh ini?

      Dalam diam aku mula mencari ' cahaya ' yang selama ini aku padamkan demi mengejar nafsu yang bergelora. Aku mula belajar membaca al - Quran, solat dan mendengar Cd agama. Aku mula sedar, aku juga akan mati pada bila sampai waktunya. Cuma satu yang tak dapat aku kembalikan, anugerah " kelakian " aku yang telah hilang !

      Aku dalam cerita ini adalah Noni ( dah tentu bukan nama sebenar )

      ( Sumber : Al - Islam )


      Nota Kaki : Semua manusia melakukan kesilapan. Tak kira lelaki atau perempuan. Harus mendorong bila mereka mahu berubah. Beri peluang kedua. Dan mungkin juga peluang ketiga kerana iman manusia memang ada pasang surutnya. kan? ahaks...

      Rabu, 27 April 2011

      Proses | Al - Kupu

      Kenyang dan berangin. Santai berduduk di kerusi malas. Aku makin malas. Mengecap nikmat kenyang luar biasa. Sebentar tadi aku, bertambah dan menambah-nambah lauk dan ruji. Aahh ! Kenyang yang songsang. Aku pasti dilaknat.

      4 minit dan 17 saat kemudian...

      Kenyang dan berangin. Perut ini terkinja-kinja. Angin ini menjolok, meramas dan memulas bersama. Bergelut dengan isi perut. Aku mula berwajah kerut, berkerut. Sudah tidak tahan. Tak perlu perlahan dan bertahan. Melurus aku ke bilik kecil itu. Berlangkah laju sambil berkepit peha.

      Dalam kiraan 3... 2... 1... behbruppopprettebbabom !!!

      Luahan rasa yang mengagumkan. Ekcelen ( pedulikan kesalahan ejaan aku tu ) Hanya sedang sekali lafaz, perut aku memuntahkan laharnya. Bahaya. Melalui lubang itu (lucah ke? ) Berehat lah aku sambil mencangkung. Ermmm ! penat dengan proses ini. Aku juga penat mahu bercebok.

      Air baldi hampir penuh. Walaupun paip itu bercurah perlahan. Eisshh !! terimbas satu lembaga kecil berwarna putih melintang lintas pandangan. Terbang dan beterbangan. Atas dan ke bawah. Wahhh !! kupu-kupu bewarna putih. Aku juga terpesona. Walaupun baru tadi, hati bermain perasan debar bila melihat nya. Takut ada petanda.

      Mengapa kupu-kupu itu beterbang sendeng ? Oh mungkin sebelah sayapnya telah rosak terkena air pancutan paip. Mungkin. Aku masih lagi dalam posisi cangkong. Tapi tidak lagi bertarung, perut ini. Bersiap sedia. Tunggu masa saja mahu bangun. Isshh!! si kupu-kupu masih lagi tersasar landasannya. Pedulilah. Aku rimas.

      Aku meneka, kau berumur muda si kupu -kupu. Kerana kau bersaiz kecil. Aku sudahpun bersiap. Tapi kau dimana ? Tiba - tiba, aku tersenyum melihat kau telantar. Berkepak - kepak di atas muka air di dalam baldi. Aku menutup air yang keluar dari mulut paip itu, walaupun airnya berskala kecil. Risau kau lemas. Lemas ?

      Mana mungkin si kupu boleh lemas di dalam air. Badan kau bersalut bahan unik, dan bahan itu dinamakan sebagai...( entah, aku pun tak pernah tahu ) ciptaan tuhan. Yang boleh bikin kau terapung. Sekarang kau masih terapung, aku terpaksa mengangkatmu di atas telapak tangan. Kau ditiup-tiup. Dengan nafas aku yang hangat.agar sayapmu cepat mengering. Dan selepas itu kau boleh pulang dengan bebas. Kau bintang yang tak bertuan.


      Mahukah kau bertuankan aku ! Pasti aku ajar kau si kupu-kupu, cara bagaimana untuk terbang didalam bilik kecil ini.


      Kisah Binatang Kecil Dan Bilik X



      Notha : Maaf jika tulisan ini agak kotor. Aku tak perasan, aku bertaip secara auto. Mungkin bahana rokok balut berperisa blueberry itu. Aku terkhayal. Ahakss !

      Isnin, 25 April 2011

      Jiwalogy | Berbuta

      Bila suria bersinar,
      Bagi aku cukuplah,
      Kerana saat kau melihatku,
      Kuatnya cahayamu.

      Terang malam damai rasa,
      Aku insan sengsara,
      Menambat hati ini, dukalara,
      Cinta ini cintamu suria.

      Masa tak kurasa,
      Malam bagai tiada,
      Menantimu cahaya indah,
      Pesona mata lupa dunia.
      Oh aku terlupa,
      Aku resah bermain rasa,
      Cinta ini membuta,
      Matahari mengoda meratah jiwa,

      Seharus aku biar kau begitu,
      Kerana cahayamu bukan untuk aku.