- S A H A B A T -

Selasa, 28 Jun 2011

Proses | Bebas

Tuliskan sesuatu pada kertas putih ini. Tulislah! Coretkan kata-kata yang jelas tentang damai dan bebas. Mereka tidak perlukan simpati kamu, hanya mahu kamu bersama dan mendengar cerita tentang udara yang dihirup. Kemarahan yang keluar dari hela nafas. Kesedihan. Yang kadang kencang dan kekadang sumbang. Suara mereka tersekat. Nada tiada gema. Kerana belenggu yang terlalu panjang, berat dan lama, terjerat di bumi sendiri. Tanah itu milik orang, bukan lagi milik tuhan.




Hai anak yahudi yang baru, juga anak-anak Arab Israel. Sudah! lontar dan campaklah botol itu, ke dalam laut yang memisah. Terpisah. Yang didalamnya ada tulisan arab dan hebrew yang kamu luah, dan bangga. Biar masa mengambil alih kerja-kerjamu. Biar anak di tanah yang dijanji itu tahu, kamu juga merindu.




Notha : Mari kongsi rasa, jom anak-anak Malaysia!
             Ya, aku poyo. Ahaks!

Proses | Barah

Dakwat hitam telah tersimbah pada hati. Sedang dulu hati juga ditoksik. Beracun. Parah sudah keadaannya. Matahati didalam hati tunggal ini, makin mati. Akibat kedurjanaan jasad.


Tenat.





Roh juga makin berat. Tiada cahaya dan kabur.

Jumaat, 24 Jun 2011

Proses | Nikmat

Bila aku tersangat lapar dan mahu bersegera, aku mahu campurkan beberapa gram serbuk koko didalam sebilang gram gandum kering. Biar mereka bergaul bersama. Di kacau melawan jam, perlahan dan sebati. Dalam ruang lengkong yang aku sedia. Tersedia, hanya untuk mainan dimulut, juga penahan di perut.

Bila aku terlalu malas, begitulah aku. Melakukan sesuatu kerja malas sesuai dengan tahap bermalasan aku. Di suasana dapur yang berkeluasan 10 kali 10 kaki, tidak selesa tetapi boleh membuat fikiran tidak terfikirkan benda.

Begitu juga tulisan ini, terlalu mahu di papar. Untuk mengejar apa? Atau dikejar? Cacatan yang tak meninggalkan kesan di hati. Tidak juga sedikit ilmu untuk di kongsi. Tiada dalam contengan kali ini.

Perlu aku minta maaf? Oh, mungkin lain kali.




Notha: malas nak letak gambar. Ahaks!

Rabu, 22 Jun 2011

Fakta | Ketiga

  • Di zaman Rom purba, orang yang hidungnya bengkok dianggap bakal pemimpin.

  • Kerana pengaruh putaran bumi, jika kita melempar sesuatu ke arah barat, lemparan kita akan melebihi arah timur.

  • Sirius adalah bintang yang paling terang di alam semesta. Tahap kecerahannya 26 kali ganda lebih terang berbanding matahari.

  • Badak mempunyai kulit setebal 3.81 sentimeter sehinggakan peluru besi pun tidak mampu menembusinya.

  • Condom (kondom) dinamakan sempena nama Dr. Charles Condom.

  • Sebenarnya, mata manusia melihat semua benda dari atas ke bawah. Tetapi otak yang membetulkan pandangan manusia.

  • Otak manusia sangat kompleks, sehinggakan sesiapa yang ingin memprogramkan komputer untuk menyamai otak manusia perlu membelanjakan wang lebih AS$8 bilion.

  • Ikan emas adalah satu-satunya binatang yang boleh melihat di dalam cahaya inframerah dan cahaya ultra violet.

  • Purata, seorang wanita menggunakan lipstik sebanyak tiga kilogram sepanjang hayatnya.

  • Dua orang ahli kumpulan The Beatles, Paul McCartney bermain gitar bass dengan tangan kidal. Ringo starr bermain dram juga dengan tangan kidal.

  • Rata-rata manusia bergerak 40 kali ketika tidur.

  • Di Malaysia, setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah. Sebulan ? Setahun ? Ah, malas mahu kira. Jawapannya, ramai.




Notha:
Kita bertutur sebanyak 31,500 patah perkataan sehari. Ok, sekarang mari kita diam. Memang pun. Ahaks!

Isnin, 20 Jun 2011

Proses | Syahwat


Kau telah membawa cinta jauh dari batasan. Cinta ini tidak selamat lagi. Alat kawalan jauhnya kehabisan bateri. Pasti tsunami bila alat ini mati. Celaka!

Hanya disini ada penahannya (iman). Disitu kau mahu meraba. Tidak mahu lagi meneka. Kau sudah mahu merasa. Bagaimana bentuk-bentuknya, ukurannya. Dan selepas itu, 100 peratus kau berkemahuan mencapai pujukan nafsumu.

Perlukah cinta itu dimanja dan dilagukan? Seharusnya dibawa ke pelaminan. Atau bermukadimah di hotel-hotel murah? Bajet. Kau perlu bertahan dan menahan. Dengan kenakalan separuh dari jiwa. Berbuak-buak mahu keluar. Cuba memuntahkan laharnya. Kau cubalah menahan !




Notha : Bukan bacaan umum? Ahaks!

Jumaat, 17 Jun 2011

Proses | Semangat

Bangkitlah semangat. Kau telah diseru atas nama kasih dan sayang.  Susup masuklah ke dalam. Jeritkan pada sesaraf lena yang tak mahu dimiliki.




Titik noktah.




Notha : Belum mahu bangun lagi.

Khamis, 16 Jun 2011

Proses | Rasa

Kilang jiwa sudah penuh dengan rasa. Maafkan lah. Dia berdebu dan mendesak nafas untuk menyentap oksigen secara santun.


Rongga juga sudah tertutup.


Noktah


Sekian.


Noktah






Notha : weh! sahaja aku. niat. Ahaks!

Isnin, 13 Jun 2011

Proses | Suara

Keadaan kembali sunyi. Setelah hampir dua minggu rumah kecil ini padat dengan tona-tona suara anak-anak. Suara itu hanya tidak bernada bila sahaja anak itu tidur bergelimpangan. Pengsan kerana penat yang teramat. Kepenatan bermain permainan tradisi walaupun mereka anak semasa.


Kadang suara itu bergabung menjadi koir. Masing-masing ada nada suara tersendiri. Harmoni. Suara itu telah aku analisis. Bagi aku indahnya seperti kicauan burung-burung di pagi hari ahad. Paling tidak pun ia semacam bunyi-bunyian serunai dan gendang Mohram. Ada kedamaian disitu. Dalam kemeriahan suara-suara itu, ada ketenangan. Walaupun itu tidak enak untuk halwa telinga manusia lain tetapi baik untuk spiritual aku.

Bapa saudara mu yang bongsu menunggu kamu di cuti semester akan datang.




Notha : Kisah anak-anak buah aku. Ahaks!

Jumaat, 10 Jun 2011

Fakta | Kedua

  • Urat saraf yang paling sensitif di dalam tubuh manusia letaknya di tulang belakang.  

  • Asteroid yang dipercayai telah menghapuskan dinosaur dimuka bumi ini 65 juta tahun dahulu dinamakan Chicxulub.

  • Jenama kondom Ramses diambil sempena nama Ramses II yang dipercayai mempunyai 160 orang anak.

  • Filem Cleopatra yang dibintangi oleh Elizabeth Taylor telah diharamkan tayangannya di mesir kerana dia merupakan seorang penganut agama Yahudi.

  • Lidah seekor paus biru lebih besar dari sebuah kereta.

  • Tidak ada sesiapa pun direkodkan lahir pada tahun 1983 di Vatican City, Italy.

  • Hanya bahagian tumit dan permukaan tapak tangan sahaja yang tidak akan menjadi gelap sekiranya terdedah dengan cahaya matahari.

  • Racun yang terdapat pada tubuh seekor katak panah sudah cukup untuk membunuh kira-kira 2,200 orang.

  • Perkataan ajaib 'Abracadabra' dipercayai digunakan dalam menyembuhkan penyakit demam yang disebabkan alahan debu yang melanda Eropah suatu ketika dahulu.

  • Nama yang paling kerap digunakan di Italy ialah Mario Rossi. Dan kau percaya atau tidak, nama yang paling banyak digunakan di dunia pula ialah Mohammed.


    • Berat bulan adalah 81,000 trilion tan.

    • Spesies cacing tanah terpanjang di dunia, iaitu Megascolides, telah dijumpai di Australia pada tahun 1868. Jangan terkejut, ia boleh membesar sehingga dua meter panjang. Ertinya, kalau cacing Megascolides boleh berdiri seperti manusia, ia pasti lebih tinggi daripada orang yang sedang membaca fakta pendek ini! Ahaks!

    Selasa, 7 Jun 2011

    Proses | Khabar

    Apa khabar Encik Bakar? Kau masih bertutup mata. Kau berjalan berjaga-jaga. Selangkah dua dan tiga. Mahu kemana? Ya, kau mahu ke sana. Bersolat.

    Apa khabar Encik Bakar? Aku pasti kau ceria. Kalori mu banyak binasa. Setiap hari ada sahaja. Kau akan berjalan kesana. Satu kilometer luas radiusnya. Pergi dan pulang. Selepas tengahari dan petang. Kau melepasi empat lampu isyarat. Empat hala ke kiri. Enam simpang ke kanan. Juga lima jalan yang lurus. Proses itu terus menerus.

    Apa Khabar Encik Bakar? Aloi itu panjang sedepa. Sedikit ke kiri sekejap ke kanan. Meraba tapi bukan dengan tangan. Kau berlangkah juga begitu. Bertongkat. Kau lebih merasa. Bukan dimata. Tapi di isini, hatinya.


    Encik Bakar, aku kagum.




    Notha : Cuba bertutup mata seketika. Warna apa yang ada. Lihat hitam? Kelabu? Syukurlah bila engkau terjaga. Ahaks!

    Isnin, 6 Jun 2011

    Proses | Khayal

    Dikawasan-kawasan sejuk melampau seperti Siberia dan Scandinavia, tumbuh sejenis kulat yang amat disayangi oleh masyarakat tersebut. Kulat itu diberi nama Fly Agaric. Ia tumbuh melata dihutan dengan topi berwarna merah yang kalau mengembang penuh boleh mencapai 30 sentimeter lebar, manakala batangnya pula putih, setinggi 5 ke 20 cm.

    Kau tahu kenapa cendawan ini digelar fly agaric? Sebab cendawan ini tinggi kadar asid ibitonic, muscazone, muscarine, muscimol. Satu gram sudah cukup untuk membuat pemakannya menjadi khayal, penglihatan terganggu, mood berubah- ubah, gembira, berpeluh dan air liur meleleh.

    Memakan terlalu banyak pula boleh mengakibatkan badan membengkak, meracau dan berhalusinasi. Ketika inilah si pemakan tadi merasa dirinya terawang- awang dan melayang seperti dibawa ke alam ghaib. Kesan sampingan ini boleh berlarutan sejam hingga sepuluh jam.

    Oleh kerana sifatnya yang boleh menyebabkan fikiran melayang dan berhalusinasi, golongan shaman ( pawang ) masyarakat Siberia memakan fly agaric dalam sesuatu ritual, untuk berhubung dengan kuasa-kuasa ghaib.


    Fakta yang meloyakan tekak ; Selepas ritual, shaman akan membuang air kecil ke dalam sebuah bekas, dan air kencing itu akan diberi kepada orang ramai untuk meminumnya.
    Kesan sampingan cendawan itu sangat kuat, kerana meminum air kencing shaman itu juga akan membuat mereka berhalusinasi, berasa diri terbang melayang, terawang-awang serta menembusi alam ghaib!

    Dahulu, fly agaric menjadi makanan golongan kaya dan bangsawan. Tetapi golongan bangsawan di siberia itu sangat baik hati, lantas mereka menadah air kencing masing-masing untuk diberikan kepada golongan miskin supaya orang miskin juga dapat merasakan diri mereka terbang terawang-awang.



    Notha : Kalau kau mahu, hubungi aku. Ahaks!

    Khamis, 2 Jun 2011

    Proses | Hasutan

    Aku tidak pernah salahkan kau. Aku tahu hidup kau teramat payah. Kau tegar miskinnya. Manusia kota yang hidup dipinggiran. Kau berusaha tetapi kau terabai.

    Kau masih bersetinggan. Di wilayah yang telah pupus rumah berciri papan dan beratapkan zing. Dikebun tinggalan itulah tempat tinggalmu. Berjirankan taman perumahan mewah. Kepunyaan para pencari harta. Tersungguh gah dan berdiri megah rumah berbatuan keras itu. Bila dilihat dari garis sempadan tanah ini, mereka meninggal dan kau tertinggal. Terlalu jauh langit dan bumi.

    Kau miskin juga hina. Istilah apakah itu? Miskin hina. Perlu hina kerana miskinnya dia? Maka celakalah pada orang yang menggelar. Terlupakah hidup ini roller coaster. Namun itulah hakikat.


    ...Kau terimbas. Jadi, apa yang kau fikirkan lagi? Ambillah beras itu. Beras yang harus kau angkut. Dari lori panjang yang terbalik dihadapanmu. Cepatlah ! sebelum seluruh warga lebuhraya bersesak - sesak datang. Inilah dinamakan rahmat. Mungkin ini jugalah hak mu. Silakan, kautlah beras itu untuk bekalan keluargamu yang lama kelaparan. Salahkah? Aku tidak pernah salahkan kau. Dan aku tidak akan.


    ...Keadaan menjadi terang. Dia mula tersedar akan kekuatan cahaya. Sebentar tadi dia terhasut dari kata sisi gelapnya. Sekarang, dia mahu berlalu. Biarkan dia dan ahlinya berlapar. Dia mahu terus begitu, dari mengambil hak dari milik orang. Tidak sebutir beras pun digenggam. Tertunduk semua yang hitam. Manusia miskin ini berjaya. Ini jugalah rahmat. Itu juga hakikat.




    Notha : ( Kosong )